To teach is to learn twice - Joseph Joubert

To teach is to learn twice   - Joseph Joubert

Thursday, June 17, 2010

Oh...cigu pula kamu ni.. Mana lesen?

Jalan-jalan cari berita hari ini. Tiba-tiba terbaca artikel di bawah ini di laman web  Berita Harian Online . Satu artikel yang menarik untuk dikongsi dan dikomen bersama rakan-rakan guru.

Lesen untuk guru
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com 
2010/05/22
MOHD Puad   (dua dari kiri)  beramah mesra dengan ibu bapa sambil diperhatikan   Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa,  Dali Husin (kiri) selepas majlis perasmian mesyuarat PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan  Kemumin Pengkalan Chepa, semalam.
MOHD Puad (dua dari kiri) beramah mesra dengan ibu bapa sambil diperhatikan Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Husin (kiri) selepas majlis perasmian mesyuarat PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Kemumin Pengkalan Chepa, semalam.

Syarat mengajar bagi pelihara integriti profesion 
KOTA BHARU: Kementerian Pelajaran menimbang untuk mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan, seperti doktor, peguam dan akauntan, bagi memelihara integriti profesion itu serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata lesen perguruan itu telah dilaksanakan di Kanada dan sudah tiba masanya Malaysia menimbangkannya secara serius. 

Isu integriti menjadi perhatian kementerian saya dan perlu dicari satu kaedah bagaimana hendak mengekalkan integriti perguruan. Oleh itu, ada cadangan kita kaji atau lihat sama ada guru perlu ada lesen perguruan seperti doktor, peguam atau akauntan.

"Mereka perlu ada lesen, kalau langgar peraturan profesion mereka, lesen berkenaan akan ditarik balik dan tidak boleh membuat amalan pekerjaan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin, Pengkalan Chepa, semalam.

Mohd Puad berkata demikian ketika mengulas kes seorang guru mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di Sibu, Sarawak, ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka.

Perbuatan guru berusia 32 tahun itu dikatakan bermula Mac lalu, tetapi semua mangsa termasuk seorang murid Tahun Enam yang juga adik iparnya, hanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, Rabu lalu.

Mohd Puad berkata, kementerian memandang serius kejadian seumpama itu kerana sekiranya integriti guru tercemar, masyarakat akan hilang kepercayaan kepada guru.
Beliau bagaimanapun berkata, cadangan memperkenalkan lesen perguruan masih di peringkat awal dan belum dikemukakan ke Kabinet.

“Kajian juga belum dibuat kerana benda ini bukan mudah, ia membabitkan 390,000 guru di negara ini. Namun, kementerian sedang berusaha untuk menerokainya demi menjaga kepentingan profesion perguruan,” katanya.


*********************************************

Okay. Another sensational news on teachers. Kalangan keluarga pendidik senegara sempat gempar sejenak bila berita lesen-melesen ini tersiar. Boleh tahan juga rupanya tempias glamour menjadi seorang guru. Mana tidaknya. Sejak 3 - 4 tahun kebelakangan ini, banyak betul isu tentang profesion perguruan diperkata dan diperdebatkan di semua medium media. Setiap kali isu terbaru timbul, macam-macam respon dan komen yang dikemukakan. Yang paling ramai bersuara tentulah daripada kalangan guru sendiri kerana sah-sah merekalah sasaran utama dalam setiap isu panas pendidikan negara. Namun ada juga pihak-pihak tertentu yang terpanggil untuk tampil bersuara. Ada yang mengenang dan menyanjung guru. (Terima kasih banyak-banyak). Ada yang memperlekehkan hak dan kepentingan guru.(Terima kasih juga di atas pandangan sedemikian.Tidak mengapa. Guru-guru semua sememangnya hantu kaya raya dan tidak perlu pembelaan.) Tidak kurang juga ada yang langsung tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu langsung.(Terima kasih sekali lagi. Itu  sangat difahami. Maklumlah, sibuk dengan kehidupan masing-masing.) Well, it's a democratic country after all. Every one is entitled to his own opinions and ideas. Setiap individu masing-masing punya pilihan tindakan tanpa paksaan.
Nah, sekarang ini hangat pula dipertikaikan samada guru perlu ada lesen mengajar atau tidak. Persoalannya :
1. Hanya segelintir yang bermasalah tetapi mengapa pula seluruh warga guru mendapat tempiasnya? Kenapa tidak keluarkan sahaja akta yang berasingan untuk golongan suka buat hal ini supaya bila etika perguruan gagal dipatuhi, ada tindakan berasingan untuk individu terbabit.
2. Terjaminkah integriti profesion perguruan sekiranya pemilikan lesen ini dipraktikkan? Apakah dengan adanya lesen akan tidak lagi berlaku kes-kes cabul-mencabul dan guru-guru chipsmore "sekejap ada, sekejap takda"?
3. Untuk mendapat lesen ini, tentu ada syarat-syarat wajib. Tentu ada peperiksaan tertentu sebagai benchmark.(PTK pun belum tentu lepas 4 - 4, inikan lagi another exam to sit?) Kalau lesen mengajar ni ada benchmark pencapaian tahap cemerlang, kepujian atau sekadar lulus biasa, gaji ada bezalah yerr..? Aiii...silap-silap guru kena ambil Master atau PHD dulu barulah layak untuk mendapatkan lesen. Yalah, kan bagi memelihara integriti profesion serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia?  Mana boleh main-main benda ni.
4. So, sekiranya sudah berlesen sebagai guru yang bertauliah, kita boleh buat sekolah kecil-kecilan macam tadika tu kah? Profesion ini kan setaraf dengan doktor..(boleh buka klinik sendiri)...macam peguam (buka firma guaman sendiri). Marvellous then. Boleh cari side income ni. 
5. Bagaimana agaknya rupa lesen guru ini? Macam lesen memandu kah? Macam kad kredit mungkin? Pakai cip pintar juga kah macam IC? Untuk berapa lama tempohnya? Wajib renew? Boleh guna jadi kad diskaun tidur hotel masa cuti-cuti 1Malaysia juga mungkin..Hmmm. Kalau rasa-rasanya sudah bosan mengajar, bolehlah agaknya guru-guru biarkan lesen sampai  expired so no more laku one. Then guru-guru boleh pencen awallah mungkin..

Agak menarik juga kalau diimbas kembali isu-isu panas dalam dunia pendidikan sepanjang tempoh berkhidmat sebagai seorang pendidik. Isu-isu besar dan hangat dan sangat seronok untuk dibawa berdebat di kantin, rumah, pejabat, mesyuarat dan persidangan. Tetapi adalah lebih baik rasanya jika kita amati, beri keutamaan dan beri komen terhadap isu yang kecil-kecil dahulu, yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak namun pada dasarnya, isu-isu kenit seperti inilah yang sebenarnya sebahagian intipati  permasalahan serius dalam dunia pendidikan. Diharap tidak ada insan yang terlelap tatkala membaca apa sebenarnya isu-isu yang TERBENAR realitinya berlaku di sekolah-sekolah.
1. Program PPSMI : Program yang dikira hebat. Murni objektif dan hala tujunya : membantu murid menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik. Guru-guru Sains dan Matematik wajib mengajar menggunakan Bahasa Inggeris. Wah. Tersembur-sembur air liur guru-guru menyebut terma-terma sains dan matematik yang pelik-pelik. Sebutannya juga most of the time kedengaran super pelik. Kursus EteMs kadangkala seperti kurang membantu kerana masih ada guru yang menyebut (pronounce) main redah ikut sistem sendiri bila Guru Buddy tidak ada di sisi.Terpeleot-peleot lidah guru-guru yang tidak mesra dengan bahasa ini yang akhirnya resolusi penggunaan Bahasa Melayu dipraktikkan secara sembunyi-sembunyi dek bingung melihat murid-murid terlopong. Di SK.Pengaraan ,  jangankan Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu juga hampir semua murid dan ibubapa tidak memahami. Guru harus perlu kreatif sendiri untuk merebut perhatian murid yang juga bingung. Maka kesnya disini, guru-guru terpaksa menyelitkan penggunaan bahasa ibunda iaitu Bahasa Murut (yang guru TERBELAJAR dan TERPAKSA BELAJAR). So, bila isu PPSMI ini akhirnya ditamatkan dengan keputusan mengembalikan penggunaan Bahasa Melayu dalam pengajaran kedua-dua subjek ini bermula 2012 dengan alasan untuk mengembalikan martabat Bahasa Melayu, ramai juga yang  tersenyum gembira. Ramai juga yang buat-buat sedih sebab Elaun PPSMI akan terhenti secara automatic. Tapi kalau guru perlu lesen bahasa, rasanya guru-guru sekolah ini sudah lebih dari layak. Onsoi am..(bagus bah..) Haha.
2. Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) : Bagus kerana kerajaan memikirkan mengenai penyediaan infrastruktur ICT di sekolah-sekolah. Cuma masalah timbul bila pembekalan komputer tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar. Komputer-komputer rosak juga jarang disenggara pada tahap yang memuaskan. Bila ada kursus/latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer, sesetengah sekolah menghantar guru-guru yang tarikh pencennya cuma tinggal beberapa tahun lagi. Ada yang langsung tidak ada basic dalam penggunaan komputer. Ada yang takut menyentuh papan kekunci. Ada yang menarik tetikus sehingga terkeluar dari mouse pad. Haha. Ada yang langsung tidak mahu menyentuh kerana takut komputer rosak. Sekolah tidak ada pilihan selain menghantar mereka-mereka ini kerana golongan guru yang lebih muda terikat dengan tugas yang lebih berat. So, rumusannya kita masih kekurangan guru terlatih dalam bidang ICT. So, it is a big challenge for the Ministry then to ensure every school is adequately equipped with computers and ICT literate teachers.Kalau tidak, komputer akan sekadar menjadi objek perhiasan di sekolah semata-mata.
3. Guru Opsyen : Guru harus dikategorikan sebagai para insan yang maha agung hebat. Mana tidaknya. Guru opsyen Bahasa Melayu tetapi  terpaksa dinaikkan pangkat menjadi guru Bahasa Inggeris untuk kelas Tahun 4, 5 dan 6. Wah. Bukan guru-guru sekolah ini  sahaja sebenarnya. Ramai lagi guru-guru yang 'terterjun' dan 'tersasar keluar' dari opsyen masing-masing bila kurangnya tenaga pengajar di sekolah. So, bila kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan, bayangkanlah kerutan dahi dan peluh kami yang menitik laju bila kami sendiri gelabah, tidak pasti apa yang kami sampaikan kepada murid itu mengikut kitab silibus KPM atau tidak. Kalau ada lawatan nazir..tidak susah untuk anda membayangkan betapa serabut dan kelam-kabutnya kepala otak guru. Sementelah lagi, ada segelintir nazir yang lokek membimbing tetapi sangat suka mencari kesalahan guru. Oh..mungkin ada baiknya golongan ini kita minta bimbingan dengan mempersilakannya mengganti kita mengajar di depan dan kita catit langkah apa yang patut. Ya, sebaiknya. 
4. Pertindihan Tugas : Kalau mengajar di sekolah pedalaman, tidak ada istilah 'Itu tugas Cikgu X. Yang ini tugas Cikgu A'. Di sini,  kamilah segala-galanya. Tugas mengajar sering bertindan dengan tugas pentadbiran. Laporan itu dan ini perlu dihantar sebelum deadline. Untuk sekolah pedalaman seperti sekolah kami, penyerahan laporan selalunya dalam keadaan yang emergency kerana surat minta laporan pun sebenarnya sampai jauh lebih lambat dari deadline itu sendiri. Maklumlah kawasan hutan. Itu belum dikira tugas jadi kerani dan tukang kebun terjun. Kalau yang dua ini tidak ada kelibatnya di mana-mana sekolah maka guru harus ambil alih.  Pun begitu, lega sedikit rasanya bila kementerian sedang menimbang-nimbang untuk membekalkan tenaga pekerja tambahan untuk kerja-kerja clerical di sekolah. Sekurang-kurangnya timbunan fail di atas meja guru indah sedikit susun aturnya.
5. Kemudahan Asas : Lengkapkan dahulu prasarana sekolah dengan bekalan elektrik, air paip bersih, klinik kesihatan, kemudahan talian telefon dan jalanraya yang elok untuk perhubungan dengan dunia luar yang lebih baik dan efisien. Tidaklah warga murid pedalaman terpinga-pinga bila disorong dengan benda-benda baru. Kemudahan sekolah seperti mesin pendua, mesin pencetak, komputer, projektor LCD dan sebagainya hanya tersadai dengan lapisan habuk sekiranya bekalan minyak untuk set generator habis dan bekalan minyak baru yang ditunggu entah kan sampai entah kan tidak. Kalau set generator buat hal? Tunggu lagi set yang baru. Entah kan dapat entah kan tidak. Sistem birokrasi di pejabat sedikit sebanyak menyulitkan lagi keadaan kerana kena jumpa orang ini untuk minta ini lepas tu kena jumpa orang itu untuk minta itu dan kena jumpa orang yang lain pula untuk minta kelulusan. So, the list of errands never ends. Memenatkan sebenarnya.
6.  Sudahlah Sudah : Dunia pendidikan memang sentiasa panas. Dari isu guru merotan hingga mencabul, semuanya silih berganti menghiasi dada akhbar. Sekarang isu lesen guru pula hebat tercanang. Namun cukuplah setakat itu. Sudah-sudahlah kita berdebat mengenai isu lesen-melesen. Daripada serabut otak memikirkan penyelesaian terhadap isu-isu moraliti dan kerapuhan peribadi individu sesetengah guru, kan ada bagusnya pihak kerajaan dan kementerian datang meninjau keadaan di sekolah-sekolah seluruh negara terutamanya sekolah - sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak; contohnya : SK.Pengaraan di daerah Pensiangan, Sabah. Fikir-fikirkanlah cara terbaik untuk memperuntukkan sedikit dana bagi pembinaan infrastruktur seperti jalanraya bertar, klinik kesihatan dan talian telefon ke kawasan kami. Dalam usaha membangunkan modal insan secara menyeluruh, peruntukan dana sedikit mana pun akan berupaya menyumbang kepada kebajikan warga sekolah dan kampung  serta  lebih menjanjikan pulangan jangka panjang yang lumayan kepada nusa dan bangsa.

Oh..hampir terlupa. Kertas peperiksaan rupanya masih belum habis  diperiksa.  Cuti sekolah hampir berakhir. Dengan timbunan kertas yang menuntut markah, diharap teman-teman guru sempat bercuti kali ini.


Bicara ini pasti bersambung jika berkesempatan tenaga dan masa.
Oh maaf...ada yang terlelap?

Monday, June 7, 2010

Janji Guru Tinggal Janji?

Tatkala leka menyusuri laman sesawang dalam usaha mencari blog sekolah-sekolah pedalaman seluruh Sabah/Malaysia, saya terbaca satu artikel di blog PERKHIDMATAN PELAJARAN yang SAYA KIRA AMATLAH MENARIK untuk dikongsi bersama.
**********************************************
Janji Guru
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
SEBAGAI pendidik, seorang guru perlu bersedia mencurahkan ilmu kepada pelajar di negara ini walaupun mengajar jauh di pedalaman tanah air. 

Namun, ada segelintir guru yang dihantar ke sekolah di pedalaman menghantar permohonan pertukaran tempat mengajar sesuka hati tanpa alasan kukuh menyebabkan kekurangan guru di kawasan pedalaman.

Fenomena menghantar permohonan pertukaran tempat mengajar oleh guru terutama mereka yang berkhidmat di pedalaman bukanlah sesuatu yang baru tetapi masih ada jalan penyelesaian. 

Jika seseorang guru itu lama mengajar di pedalaman dan membuat permohonan bertukar ke tempat lain, itu mungkin boleh dipertimbangkan Kementerian Pelajaran tetapi ini baru beberapa bulan saja mengajar, sudah minta dipindahkan.

Di mana rasa tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik anak bangsa?

Justeru, bakal guru mungkin dikehendaki menandatangani surat akujanji sebagai syarat 'mengikat' mereka berkhidmat di mana-mana sekolah bagi mengatasi masalah kekurangan guru di kawasan pedalaman.

Tindakan itu juga dilihat langkah terbaik mengelak guru memohon pertukaran tempat mengajar sesuka hati tanpa alasan kukuh.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya sedang menimbangkan mengenakan syarat akujanji sebelum bakal guru menamatkan pengajian bagi mengelak masalah pada masa depan.
Beliau berkata, akujanji itu akan dijadikan syarat utama sebelum mereka ditempatkan di mana-mana sekolah di seluruh negara.
Selepas menandatangani surat akujanji, kementerian tidak akan melayan sebarang permohonan pertukaran kecuali ada kes kritikal seperti sakit.
Ini bagi mengelak masalah kepada kementerian kerana ada guru meminta ditukarkan hanya selepas enam bulan mengajar di sesebuah sekolah ditetapkan.
Akibatnya, sesebuah sekolah menghadapi masalah mengganti guru yang minta ditukarkan itu. 

Mungkin dengan mewujudkan akujanji ini, ia dapat mengatasi masalah dihadapi kementerian dalam penempatan guru baru.
Persoalannya, adakah peraturan itu perlu dilaksanakan hanya kerana segelintir guru yang bersikap sedemikian.
Ketua Program Pendidikan, Fakulti Pengajaran Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Noor Azizi Ismail, bersetuju dengan cadangan menandatangani akujanji 'mengikat' guru baru bagi mengelak masalah kekurangan guru di pedalaman.
Beliau berkata, pelajar atau bakal guru ini ketika mengikuti pengajian, bakal guru ini membuat pengakuan sanggup dihantar ke mana sahaja termasuk pedalaman.
"Mereka tahu keadaan persekitaran mengajar di luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.
"Bagaimanapun, apabila bergelar guru dan ditempatkan di mana-mana sekolah terutama di kawasan pedalaman, mereka memohon bertukar sehingga melanggar akujanji.
"Justeru, cadangan menandatangani akujanji ini wajar dan ia perlu dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
Beliau hairan apa masalahnya mengajar di pedalaman, cuma guru tidak mahu berjauhan dengan keluarga atau kampung halaman.
"Sikap guru baru sekarang berbeza kerana mereka dibesarkan dalam persekitaran bandar, justeru sukar untuk mengajar di kampung atau pedalaman.
"Ada sanggup menipu ketika membuat permohonan pertukaran dengan memberi alasan ibu bapa sakit," katanya.
Mengenai guru yang melanggar akujanji yang dipersetujui, katanya perbuatan itu tidak profesional dan melanggar tatasusila perguruan.
"Mereka patut dihukum supaya memberi pengajaran kepada guru baru lain supaya mengikut akujanji yang ditandatangani.
"Tindakan itu menyusahkan semua pihak termasuk kementerian dan pihak sekolah kerana perpindahan mereka, menyebabkan berlaku kekurangan guru," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata akujanji itu sudah ada sejak dulu lagi.
Bagaimanapun, tiada hitam putih yang ditandatangani berkaitan perkara itu terutama membabitkan penempatan guru di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, NUTP akan berbincang dengan guru dan menunggu tindak balas mereka sebelum memutuskan sebarang keputusan berkaitan cadangan itu.
"Saya berpendapat, tiada masalah besar jika guru menandatangi akujanji kerana guru yang ditempatkan di sekolah pedalaman mendapat insentif.
"Bagaimanapun, kebanyakan permohonan pertukaran dilakukan guru wanita yang berkahwin dan mahu mengikut suami mereka," katanya.
Kesimpulannya, isu akujanji mungkin tidak timbul jika mereka yang memilih menjadi guru meminati bidang itu, bukan sekadar pilihan terakhir.

(myMetro: 9 Disember 2009)
***********************************************
Okay. Perkara pertama terlintas di dalam benak saya adalah perkataan "Baiklah".
Perkara kedua dan seterusnya adalah :
  • Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.
  • Saya faham artikel ini bukanlah menyelar semua guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Faham 110% kerana saya dan rakan guru di sekolah saya BUKAN sebahagian dari statistik negatif tersebut.
  • Cuma..saya terfikir sejenak samada pihak-pihak yang berkenaan tahu dan sedar bahawa keadaan fizikal sekolah pedalaman di Sabah & Sarawak adalah amat jauh berbeza dengan keadaan fizikal sekolah pedalaman di Semenanjung. Kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan medium perhubungan seperti talian telefon jadi igauan indah penghuni kampung setiap saat,minit, jam, hari, bulan dan tahun. Meskipun generator dibekalkan ke sekolah bagi menjana kuasa elektrik untuk jam-jam terhad, sinaran lampu kalimantang atau putaran kipas elektrik adalah sesuatu yang amat mustahil sekiranya bekalan minyak gagal diperolehi dek kerana lokasi sekolah yang jauh terperosok di hujung hutan. Oh, kita ada solar source untuk mengaktifkan Internet communication supaya boleh berhubung dengan ahli keluarga melalui emel. Cuma masalahnya, kalau di sekolah saya hanya 1 dari 4 komputer yang boleh digunapakai. Oleh kerana terpisah dek bukit, hutan dan gunung, kami tidak menaruh harapan yang tinggi untuk perhubungan Internet selaju jet. Kerana sudah selalu terjadi, emel yang diterima dan dihantar selalunya sampai 3-4 hari kemudian. So, "what if there are emergency cases?" are relatively out of question here.
  • Lagi terhenti dan berfikir beberapa saat bila dikatakan guru yang ditempatkan di sekolah pedalaman mendapat insentif. Betul. Dan terima kasih daun keladi banyak-banyak di atas insentif itu kerana sekurang-kurangnya itu menjadi modal tambahan untuk guru menghantar kenderaan yang rosak setiap kali keluar dari kawasan pedalaman walaupun sebenarnya kos pembaikan jauh melangkaui amaun insentif yang diperolehi. Mungkin ada yang mencadangkan tidak perlu bawa kenderaan kalau kos pulih kerosakan tinggi. Dengan kilometer yang melebihi 200, tolong cadangkan kepada kami mod transport yang paling ideal untuk kami sampai ke sekolah tanpa perlu bermalam di tepi jalan tanah merah (yang sebenarnya bekas laluan asal kenderaan dari kem kayu balak yang sudah tidak beroperasi), tanpa berhenti berjam lamanya untuk menunggu air sungai surut (kawasan pedalaman ini menerima hujan hampir sepanjang tahun), tanpa perlu berjalan berbatu jauhnya untuk mencari bantuan di kala kenderaan break down di pertengahan jalan (selalu berlaku dek keadaan jalan yang teruk dan berbukit-bukit), tanpa bahaya menyusuri lebih dari 20 buah jambatan kayu balak usang (yang rupanya bukan lagi seperti jambatan ) dan gaung serta sungai, dan tanpa perlu menahan lapar semalaman, sekadar minum air yang mengalir dari cerun bukit.
  • Tergenang airmata (tapi tidak sempat dibenarkan menitis) bila dikatakan guru tidak mahu berjauhan dengan keluarga atau kampung halaman. Saya sudah biasa berjauhan dengan insan-insan tersayang saya selama 4 tahun dan saya masih dan akan cuba bertahan. Rakan-rakan saya ada yang sudah mencecah 8 tahun menabur jasa dan bakti kepada sekolah. Manusia biasa memang punya hati dan perasaan, itu fakta azali yang tidak boleh disangkal. Tapi perasaan sedemikian tidak kami jadikan alasan untuk mengajar sambil lewa walau ada ketikanya rasa putus asa itu begitu kuat bila bertemu murid Tahun 6 yang masih tidak tahu 3M pada hari pertama kami menjejakkan kaki ke sekolah sebagai guru pedalaman. Murid tidak tahu berbahasa Melayu selain bahasa ibunda, apakah resolusi pintar anda? Bagi murid yang hanya muncul di asrama sekolah untuk mengisi perut dan menghilang selepas itu, apa tindakan terbijak anda? Ibubapa yang matanya seperti hawk's eyes dan duduk dalam kelas memerhati guru mengajar, selesakah anda? Tiba musim pembahagian cek KWAMP, tiada hentinya pertanyaan mereka-mereka ini walhal anak ada yang sudah berbulan tidak hadir ke sekolah. Guru yang kelibatnya tidak kelihatan di sekolah kerana berkursus, bermesyuarat dan berurusan rasmi dilapor ketidakhadirannya terus ke Pejabat Pendidikan Daerah. Itu belum termasuk bab orang-orang atasan pejabat yang tegar dalam menegakkan kebajikan guru-guru. Apatah lagi kalau guru-guru bukan orang dari kalangan bangsa sendiri, bukan asalnya orang kawasan pedalaman tetapi dianggap orang luar, pendatang. Adakalanya (setiap masa, sebenarnya), perkara-perkara kecil dan dianggap remeh oleh sesetengah pihak itu amat melukakan perasaan dan membuat kami, guru pedalaman berjauh hati dan rasa terkilan. But we cannot please every one. Masalahnya, asyik pihak guru yang mem'please'kan orang lain, hati guru siapa pula yg sudi 'please'kan? 
  • Terkedu juga sebentar setelah mentafsir isi artikel yang secara tidak langsung menyatakan ada guru pedalaman yang tidak meminati bidang perguruan tetapi memilih profesion itu sebagai pilihan terakhir kerana terpaksa. Ya, mungkin segelintir tetapi BUKAN semua. Sekeras-keras hati seorang guru yang terpaksa menjadi guru, bukanlah manusia namanya sekiranya 'guru terpaksa' ini sanggup memalingkan muka tatkala berdepan dengan insan-insan kecil yang tidak tahu apa-apa, insan yang akan mengangkat maruah kita sebagai individu kedua tersohor selepas ibubapanya, insan yang antara malunya akan mendongakkan wajah dan melihat kita untuk suatu jawapan yang pasti, insan yang kadang tidak cemerlang akademiknya tetapi mulia pekertinya yang kita yakin insan itu akan berjaya dengan gemilang dalam hidupnya kelak walau tidak semashyur selebriti popular. Bukankah itu satu kepuasan yang abadi untuk kita para guru? 

Terpaksa atau tidak, tanggungjawab berat itu harus digalas dengan sebaik-baiknya.
Walau ada yang hanya mampu bertahan selama 6 bulan, hargailah pengorbanan mereka. Hanya mereka yang tahu kenapa sesingkat itu perkhidmatan dihulur. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Betapa kami bangga menjadi sebahagian dari cerita menjadi orang pedalaman.  

Saturday, May 29, 2010

PERITNYA PERJALANAN MENGHANTAR ILMU

Laluan untuk kembali ke sekolah begitu mencabar sejak beberapa minggu kebelakangan. Hujan lebat yang tidak menentu memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan jalan semakin becak dan dipenuhi air.



Jambatan-jambatan usang yang hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan pada satu masa juga tidak dapat ditembusi kerana keadaan fizikalnya yang berbahaya.



Papan tanda yang kelihatan dipacak berhampiran salah sebuah jambatan. Arahan ini bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya samada benar-benar dikeluarkan oleh Majlis Daerah Nabawan atau sebaliknya.
Si penyusur jambatan yang setia 

Kelas tambahan malam untuk murid Tahun 5 dan 6 dari jam 7.45 - 9.00 setiap malam. 
Wajah-wajah muda yang ceria...
Aktiviti sukan pemuda-pemuda kampung di waktu petang.

Mencari hasil tanaman untuk sesuap nasi
Peritnya perjalanan namun sudah termaktub bahawa itu adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan.

Monday, May 24, 2010

KEJOHANAN SUKAN ANTARA SEKOLAH-SEKOLAH ZON 5 PENSIANGAN

Kejohanan Sukan Antara Sekolah-Sekolah Zon 5 Pensiangan 2010 telah berlangsung dengan jayanya di mana SK.Sibanggali menjadi tuan rumah/penganjur pada tahun ini.

Pasukan murid dan guru SK.Pengaraan yang terlibat memulakan perjalanan dari tapak sekolah pada awal pagi. Pasukan ini berehat sebentar di SK. Salinatan sebelum meneruskan perjalanan melalui darat dan sungai menuju ke SK.Sibanggali, Pensiangan.










KEPUTUSAN KEJOHANAN
Johan :
SK.PEKAN PENSIANGAN

Naib Johan :
SK. PENGARAAN

Tempat ke-3 :
SK. SIBANGGALI

Tempat ke-4 :
SK. SALINATAN

Tempat ke-5 :
SK. SALILIRAN

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang berjaya dan terlibat dalam menjayakan kejohanan sukan ini.

Wednesday, January 20, 2010

KENALI SEKOLAH

STAF AKADEMIK

Andreas Mohamad
Guru Besar
C.Robin Peter
Penolong Kanan Pentadbiran
Jaafar Abidin
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM)
Sylvester Willie Balang
Penolong Kanan Ko-Kurikulum

Damian Kassim
Guru Data
Eddie Julius
Warden
Bettos b. Suti
Guru Pemulihan
Masli bin Tajan
Guru SPBT

STAF SOKONGAN

Ruhaila Marahim
Pembantu Pengurusan Murid & Kerani Sekolah

Marysia Losuyun
Penyelia Asrama


SEPINTAS LALU MENGENAI SK.PENGARAAN
Bilangan murid sekolah ini adalah seramai 73 orang dan kesemuanya ditempatkan di asrama bagi memudahkan mereka hadir ke sekolah. Kelas bermula pada jam 7.20 pagi setiap hari dan berakhir pada jam 12.20 tengahari (Tahap 1) dan 1.30 petang (Tahap 2). Sesi persekolahan pada hari Jumaat berakhir pada jam 12.00 tengahari bagi kedua-dua tahap.

Seiring dengan hasrat Kementerian Pelajaran yang mensasarkan pencapaian prestasi yang baik dan cemerlang di setiap sekolah maka pihak pentadbiran bersama guru-guru berganding bahu dalam mewujudkan kelas malam bagi murid sekolah ini dari Isnin sehingga Jumaat bermula pada pukul 7.45 hingga 9 malam. Diharap dengan adanya aktiviti tambahan seperti ini dapat membantu meningkatkan lagi prestasi sekolah dari segi pencapaian akademik khasnya dalam peperiksaan UPSR.
Related Posts with Thumbnails