To teach is to learn twice - Joseph Joubert

To teach is to learn twice   - Joseph Joubert

Monday, June 7, 2010

Janji Guru Tinggal Janji?

Tatkala leka menyusuri laman sesawang dalam usaha mencari blog sekolah-sekolah pedalaman seluruh Sabah/Malaysia, saya terbaca satu artikel di blog PERKHIDMATAN PELAJARAN yang SAYA KIRA AMATLAH MENARIK untuk dikongsi bersama.
**********************************************
Janji Guru
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
SEBAGAI pendidik, seorang guru perlu bersedia mencurahkan ilmu kepada pelajar di negara ini walaupun mengajar jauh di pedalaman tanah air. 

Namun, ada segelintir guru yang dihantar ke sekolah di pedalaman menghantar permohonan pertukaran tempat mengajar sesuka hati tanpa alasan kukuh menyebabkan kekurangan guru di kawasan pedalaman.

Fenomena menghantar permohonan pertukaran tempat mengajar oleh guru terutama mereka yang berkhidmat di pedalaman bukanlah sesuatu yang baru tetapi masih ada jalan penyelesaian. 

Jika seseorang guru itu lama mengajar di pedalaman dan membuat permohonan bertukar ke tempat lain, itu mungkin boleh dipertimbangkan Kementerian Pelajaran tetapi ini baru beberapa bulan saja mengajar, sudah minta dipindahkan.

Di mana rasa tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik anak bangsa?

Justeru, bakal guru mungkin dikehendaki menandatangani surat akujanji sebagai syarat 'mengikat' mereka berkhidmat di mana-mana sekolah bagi mengatasi masalah kekurangan guru di kawasan pedalaman.

Tindakan itu juga dilihat langkah terbaik mengelak guru memohon pertukaran tempat mengajar sesuka hati tanpa alasan kukuh.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya sedang menimbangkan mengenakan syarat akujanji sebelum bakal guru menamatkan pengajian bagi mengelak masalah pada masa depan.
Beliau berkata, akujanji itu akan dijadikan syarat utama sebelum mereka ditempatkan di mana-mana sekolah di seluruh negara.
Selepas menandatangani surat akujanji, kementerian tidak akan melayan sebarang permohonan pertukaran kecuali ada kes kritikal seperti sakit.
Ini bagi mengelak masalah kepada kementerian kerana ada guru meminta ditukarkan hanya selepas enam bulan mengajar di sesebuah sekolah ditetapkan.
Akibatnya, sesebuah sekolah menghadapi masalah mengganti guru yang minta ditukarkan itu. 

Mungkin dengan mewujudkan akujanji ini, ia dapat mengatasi masalah dihadapi kementerian dalam penempatan guru baru.
Persoalannya, adakah peraturan itu perlu dilaksanakan hanya kerana segelintir guru yang bersikap sedemikian.
Ketua Program Pendidikan, Fakulti Pengajaran Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Noor Azizi Ismail, bersetuju dengan cadangan menandatangani akujanji 'mengikat' guru baru bagi mengelak masalah kekurangan guru di pedalaman.
Beliau berkata, pelajar atau bakal guru ini ketika mengikuti pengajian, bakal guru ini membuat pengakuan sanggup dihantar ke mana sahaja termasuk pedalaman.
"Mereka tahu keadaan persekitaran mengajar di luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.
"Bagaimanapun, apabila bergelar guru dan ditempatkan di mana-mana sekolah terutama di kawasan pedalaman, mereka memohon bertukar sehingga melanggar akujanji.
"Justeru, cadangan menandatangani akujanji ini wajar dan ia perlu dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
Beliau hairan apa masalahnya mengajar di pedalaman, cuma guru tidak mahu berjauhan dengan keluarga atau kampung halaman.
"Sikap guru baru sekarang berbeza kerana mereka dibesarkan dalam persekitaran bandar, justeru sukar untuk mengajar di kampung atau pedalaman.
"Ada sanggup menipu ketika membuat permohonan pertukaran dengan memberi alasan ibu bapa sakit," katanya.
Mengenai guru yang melanggar akujanji yang dipersetujui, katanya perbuatan itu tidak profesional dan melanggar tatasusila perguruan.
"Mereka patut dihukum supaya memberi pengajaran kepada guru baru lain supaya mengikut akujanji yang ditandatangani.
"Tindakan itu menyusahkan semua pihak termasuk kementerian dan pihak sekolah kerana perpindahan mereka, menyebabkan berlaku kekurangan guru," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata akujanji itu sudah ada sejak dulu lagi.
Bagaimanapun, tiada hitam putih yang ditandatangani berkaitan perkara itu terutama membabitkan penempatan guru di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, NUTP akan berbincang dengan guru dan menunggu tindak balas mereka sebelum memutuskan sebarang keputusan berkaitan cadangan itu.
"Saya berpendapat, tiada masalah besar jika guru menandatangi akujanji kerana guru yang ditempatkan di sekolah pedalaman mendapat insentif.
"Bagaimanapun, kebanyakan permohonan pertukaran dilakukan guru wanita yang berkahwin dan mahu mengikut suami mereka," katanya.
Kesimpulannya, isu akujanji mungkin tidak timbul jika mereka yang memilih menjadi guru meminati bidang itu, bukan sekadar pilihan terakhir.

(myMetro: 9 Disember 2009)
***********************************************
Okay. Perkara pertama terlintas di dalam benak saya adalah perkataan "Baiklah".
Perkara kedua dan seterusnya adalah :
  • Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih.
  • Saya faham artikel ini bukanlah menyelar semua guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Faham 110% kerana saya dan rakan guru di sekolah saya BUKAN sebahagian dari statistik negatif tersebut.
  • Cuma..saya terfikir sejenak samada pihak-pihak yang berkenaan tahu dan sedar bahawa keadaan fizikal sekolah pedalaman di Sabah & Sarawak adalah amat jauh berbeza dengan keadaan fizikal sekolah pedalaman di Semenanjung. Kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan medium perhubungan seperti talian telefon jadi igauan indah penghuni kampung setiap saat,minit, jam, hari, bulan dan tahun. Meskipun generator dibekalkan ke sekolah bagi menjana kuasa elektrik untuk jam-jam terhad, sinaran lampu kalimantang atau putaran kipas elektrik adalah sesuatu yang amat mustahil sekiranya bekalan minyak gagal diperolehi dek kerana lokasi sekolah yang jauh terperosok di hujung hutan. Oh, kita ada solar source untuk mengaktifkan Internet communication supaya boleh berhubung dengan ahli keluarga melalui emel. Cuma masalahnya, kalau di sekolah saya hanya 1 dari 4 komputer yang boleh digunapakai. Oleh kerana terpisah dek bukit, hutan dan gunung, kami tidak menaruh harapan yang tinggi untuk perhubungan Internet selaju jet. Kerana sudah selalu terjadi, emel yang diterima dan dihantar selalunya sampai 3-4 hari kemudian. So, "what if there are emergency cases?" are relatively out of question here.
  • Lagi terhenti dan berfikir beberapa saat bila dikatakan guru yang ditempatkan di sekolah pedalaman mendapat insentif. Betul. Dan terima kasih daun keladi banyak-banyak di atas insentif itu kerana sekurang-kurangnya itu menjadi modal tambahan untuk guru menghantar kenderaan yang rosak setiap kali keluar dari kawasan pedalaman walaupun sebenarnya kos pembaikan jauh melangkaui amaun insentif yang diperolehi. Mungkin ada yang mencadangkan tidak perlu bawa kenderaan kalau kos pulih kerosakan tinggi. Dengan kilometer yang melebihi 200, tolong cadangkan kepada kami mod transport yang paling ideal untuk kami sampai ke sekolah tanpa perlu bermalam di tepi jalan tanah merah (yang sebenarnya bekas laluan asal kenderaan dari kem kayu balak yang sudah tidak beroperasi), tanpa berhenti berjam lamanya untuk menunggu air sungai surut (kawasan pedalaman ini menerima hujan hampir sepanjang tahun), tanpa perlu berjalan berbatu jauhnya untuk mencari bantuan di kala kenderaan break down di pertengahan jalan (selalu berlaku dek keadaan jalan yang teruk dan berbukit-bukit), tanpa bahaya menyusuri lebih dari 20 buah jambatan kayu balak usang (yang rupanya bukan lagi seperti jambatan ) dan gaung serta sungai, dan tanpa perlu menahan lapar semalaman, sekadar minum air yang mengalir dari cerun bukit.
  • Tergenang airmata (tapi tidak sempat dibenarkan menitis) bila dikatakan guru tidak mahu berjauhan dengan keluarga atau kampung halaman. Saya sudah biasa berjauhan dengan insan-insan tersayang saya selama 4 tahun dan saya masih dan akan cuba bertahan. Rakan-rakan saya ada yang sudah mencecah 8 tahun menabur jasa dan bakti kepada sekolah. Manusia biasa memang punya hati dan perasaan, itu fakta azali yang tidak boleh disangkal. Tapi perasaan sedemikian tidak kami jadikan alasan untuk mengajar sambil lewa walau ada ketikanya rasa putus asa itu begitu kuat bila bertemu murid Tahun 6 yang masih tidak tahu 3M pada hari pertama kami menjejakkan kaki ke sekolah sebagai guru pedalaman. Murid tidak tahu berbahasa Melayu selain bahasa ibunda, apakah resolusi pintar anda? Bagi murid yang hanya muncul di asrama sekolah untuk mengisi perut dan menghilang selepas itu, apa tindakan terbijak anda? Ibubapa yang matanya seperti hawk's eyes dan duduk dalam kelas memerhati guru mengajar, selesakah anda? Tiba musim pembahagian cek KWAMP, tiada hentinya pertanyaan mereka-mereka ini walhal anak ada yang sudah berbulan tidak hadir ke sekolah. Guru yang kelibatnya tidak kelihatan di sekolah kerana berkursus, bermesyuarat dan berurusan rasmi dilapor ketidakhadirannya terus ke Pejabat Pendidikan Daerah. Itu belum termasuk bab orang-orang atasan pejabat yang tegar dalam menegakkan kebajikan guru-guru. Apatah lagi kalau guru-guru bukan orang dari kalangan bangsa sendiri, bukan asalnya orang kawasan pedalaman tetapi dianggap orang luar, pendatang. Adakalanya (setiap masa, sebenarnya), perkara-perkara kecil dan dianggap remeh oleh sesetengah pihak itu amat melukakan perasaan dan membuat kami, guru pedalaman berjauh hati dan rasa terkilan. But we cannot please every one. Masalahnya, asyik pihak guru yang mem'please'kan orang lain, hati guru siapa pula yg sudi 'please'kan? 
  • Terkedu juga sebentar setelah mentafsir isi artikel yang secara tidak langsung menyatakan ada guru pedalaman yang tidak meminati bidang perguruan tetapi memilih profesion itu sebagai pilihan terakhir kerana terpaksa. Ya, mungkin segelintir tetapi BUKAN semua. Sekeras-keras hati seorang guru yang terpaksa menjadi guru, bukanlah manusia namanya sekiranya 'guru terpaksa' ini sanggup memalingkan muka tatkala berdepan dengan insan-insan kecil yang tidak tahu apa-apa, insan yang akan mengangkat maruah kita sebagai individu kedua tersohor selepas ibubapanya, insan yang antara malunya akan mendongakkan wajah dan melihat kita untuk suatu jawapan yang pasti, insan yang kadang tidak cemerlang akademiknya tetapi mulia pekertinya yang kita yakin insan itu akan berjaya dengan gemilang dalam hidupnya kelak walau tidak semashyur selebriti popular. Bukankah itu satu kepuasan yang abadi untuk kita para guru? 

Terpaksa atau tidak, tanggungjawab berat itu harus digalas dengan sebaik-baiknya.
Walau ada yang hanya mampu bertahan selama 6 bulan, hargailah pengorbanan mereka. Hanya mereka yang tahu kenapa sesingkat itu perkhidmatan dihulur. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Betapa kami bangga menjadi sebahagian dari cerita menjadi orang pedalaman.  

5 comments:

  1. But when I see those teachers whose hometown are in city teaching in rural areas..very pity also...

    ReplyDelete
  2. right jfook...they are the real heroes :-)

    ReplyDelete
  3. whoaa..like masuk bakul angkat sendiri tis..hehee..but that's the reality though..

    ReplyDelete
  4. my malay isnt so good, but good effort ur putting up

    ReplyDelete
  5. ive never been to any rural areas in sabah sarawak, but i do have a friend in highschool from ranau and how he told me his family uses generator for electricity. kesian. kalau kemudahan asas ada dan cukup, mungkin senang untuk cikgu bertugas.

    blog menarik, tentang sekolah pedalaman, sekurang kurangnya dapat la orang yang naif macam saya tahu dan cakne. =)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails